Rabu, 02 April 2008

= Islamic human rights

http://www.islamichumanrights.com/20070709/piagam-hak-asasi-barat-dan-islam/

Filed under Pak Abu Menulis

Kelahiran The Universal Declaration of Human Rights

Sebagai satu instrumen, PBB yang baru ditubuhkan 24 Oktober 1945 telah meluluskan satu perisytiharan hak asasi manusia yang dinamakan The Universal Declaration of Human Rights atau UDHR.
UDHR telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB dengan Resolusi A/RES/217 pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris, Perancis. UDHR mengandungi 30 artikel yang menggariskan pandangan PBB (dibaca: pihak yang menang Perang Dunia II) sebagai hak-hak manusia sejagat.
Bekas wanita pertama Amerika, Eleanor Roosevelt yang menjadi anggota surahanjaya menderafkan perisytiharan itu menegaskan bahawa UDHR bukan semata-mata satu perjanjian, bahkan pada masa hadapan, ia akan menjadi satu Magna Carta di peringkat antarabangsa.
Eleanor Roosevelt kemudian dilantik menjadi pengerusi pertama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.

Kedudukan Negara Umat Islam
Semasa UDHR diluluskan oleh PBB, sebahagian besar negara umat Islam masih dibelenggu dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat. Dengan itu, walaupun selepas merdeka, tidak banyak negara-negara itu yang meratifikasi UDHR.
Curiga dan masih bersengketa dengan kuasa-kuasa Barat adalah salah satu daripada sebab kenapa UDHR tidak diterima oleh mereka. Selain itu, rekod buruk hak asasi negara-negara umat Islam terhadap rakyat sendiri, sama ada yang sudah merdeka mahupun yang masih dijajah, menjadi sebab utama kenapa UDHR tidak diterima oleh mereka.
Negara dalam kategori ini termasuklah Malaya yang ketika itu sedang menguatkuasakan undang-undang penahanan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat 1948.
Kemunculan UDHR seakan-akan diterima sepi oleh negara-negara umat Islam yang pada keseluruhannya dikuasai sama ada oleh golongan sekular-nasionalis, golongan pewaris kuasa kolonial, rejim diktator mahupun dinasti monarki mutlak. Pemerintah-pemerintah ini pada umumnya berselindung di sebalik Islam dengan mengatakan UDHR tidak selaras atau bertentangan dengan Islam.

Respons terhadap Piagam Hak Asasi Manusia
Usaha secara intelektual, sistematik dan lantang sebagai respons terhadap UDHR hanya dilakukan di kalangan pemikir daripada gerakan Islam di India-Pakistan.
Ulama’ dan pemikir-pemikir dari dunia Arab agak tidak ke hadapan dalam menangani isu hak asasi manusia dalam konteks sistem, struktur dan proses politik moden; demokrasi, perlembagaan dan negara-bangsa (nation-state). Jika ada pun, ketika itu pemikir dan ahli-ahli akademik di dunia Arab masih bercakap hak dan tanggungjawab dari perspektif sempit bidang-bidang fiqh yang sudah pun lama tidak berkembang.

Jika ada pun, persoalan hak asasi moden di dunia Arab, sekali lagi dirintis oleh gerakan Islam, khasnya oleh Ikhwan Muslimin. Namun, persoalan hak asasi yang diperjuangkan seperti apa yang digariskan oleh Hasan Al-Banna dan kemudiaannya oleh Abdul Qadir Awdah dan Sayyid Qutb, di segi falsafah dan konsepnya masih belum menyentuh persoalan hak-hak asasi dalam konteks sistem, struktur dan proses politik sebuah negara-bangsa.
Walau bagaimanapun, asas-asas pemikiran Hasan Al-Banna, Abdul Qadir Awdah dan Sayyid Qutb tentang sistem politik, perundangan dan hak-hak manusia yang mesti dipertahankan demi menegakkan keadilan telah menjadi asas bagi perkembangan pemikiran tentang persoalan hak asasi manusia yang lebih menyeluruh pada tempoh berikutnya.

Hanya pemikir dan ulama’ dari India-Pakistan sahaja pada masa itu yang agak ke hadapan dalam membicarakan persoalan hak asasi manusia dalam konteks negara-bangsa yang berperlembagaan. Perintis paling terkemuka mengupas persoalan hak asasi manusia adalah pemimpin gerakan dan parti politik Islam, Jamaati Islami iatu Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi.
Dalam ucapan-ucapannya di Radio Pakistan, Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi mengupas perbezaan di antara falsafah dan konsep hak asasi manusia yang ditaja oleh PBB berdasarkan UDHR berbanding Islam.

Pemikiran Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi
Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi telah menggariskan prinsip-prinsip hak asasi yang terkandung dalam Al-Quran, As-Sunnah dan amalan khulafa’ rasyidun dalam satu risalah kecil yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris dan disebarkan ke dunia Barat berjodol Human Rights in Islam yang menjadi rujukan utama dalam persoalan hak asasi manusia dari pandangan Islam.
Politik perlembagaan, sistem kehakiman dan kesesuaian atau tidak demokrasi dengan Islam menjadikan perbahasan dan penyelidikan tentang hak asasi manusia tumbuh subur di kalangan ulama’ dan ahli-ahli akademik dalam negara baru Pakistan.
Langkah pemerintah untuk menahan rakyat tanpa bicara yang hendak diterapkan dalam perlembagaan Pakistan sekitar tahun 1950an juga menjadikan wacana dan debat tentang hak asasi manusia semakin rancak di Pakistan.

Pelarian Politik Gerakan Islam di Barat
Seiring dengan perkembangan di India dan Pakistan, pada tahun 1960an, para pelarian politik dari negara-negara Arab yang diburu oleh rejim-rejim kejam khususnya Mesir, Jordan, Iraq dan Syria telah bergiat aktif mengasaskan pertubuhan-pertubuhan Islam di Eropah dan Amerika Utara. Berinteraksi dengan sistem, struktur dan proses demokrasi-liberal telah memaksa mereka meneliti persoalan hak asasi manusia yang diamalkan di Barat.
Natijah daripada itu, melalui pertubuhan-pertubuhan Islam di Eropah dan Amerika Utara beberapa wacana dan dialog tentang UDHR dan hak asasi manusia menurut perspektif Islam diadakan secara meluas.

Kezaliman Shah Iran

Pada masa yang sama, kemuncak penindasan dan kekejaman Shah Iran sepanjang tahun 1970an telah mencetuskan kebangkitan yang lebih meluas dalam rangkaian ulama’ dan ahli-ahli akademik seluruh Iran. Persoalan utama yang ditimbulkan adalah tentang pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh Shah terhadap rakyat Iran.

Di pusat-pusat pengajian Islam di Qum dan Mashhad, golongan ayatullah dan hujjatulIslam menumpukan pengajian mereka secara perbandingan terhadap isu-isu hak asasi manusia terutamanya instrumen PBB yang dinamakan UDHR.
Kemuncak kezaliman Shah Iran juga menyaksikan solidariti di kalangan gerakan dan pertubuhan Islam, terutamanya di Eropah untuk menyokong Revolusi di Iran. Tanpa memperdulikan isu Sunni atau Syi’ah, solidariti ini wujud bukan sekadar retorik tetapi secara tulen bertujuan untuk menegakkan hak dan kebenaran.

Ruhullah Khomeini dan Revolusi di Iran

Kejayaan Revolusi Islam Iran yang diterajui oleh Ayatullah Ruhullah Khomeini pada tahun 1979 untuk menumbangkan Reza Shah Pahlavi membuka ruang yang lebih luas dalam penyelidikan dan wacana hak asasi manusia moden.
Halatuju yang ditempuh oleh Ayatullah Khomeini untuk melaksanakan struktur politik Republik Iran menurut sistem demokrasi berperlembagaan dalam rangka sebuah negara-bangsa turut menyuburkan lagi perjuangan dalam persoalan hak asasi manusia.

Seruan Ayatullah Khomeini agar jurang antara Sunni dan Syi’ah diketepikan dalam mendepani golongan mustakbirin, khasnya Amerika telah disambut baik oleh gerakan dan pertubuhan Islam khasnya di dunia Barat. Persoalan penentangan terhadap imperialisme menjadi agenda utama. Berdasarkan kesungguhan untuk menentang imperialisme ini juga telah membolehkan semua golongan termasuk Sunni dan Syi’ah berusaha mewujudkan kerjasama.

Kelahiran Universal Islamic Declaration of Human Rights

Dalam satu persidangan yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan yang disertai oleh ulama’, fuqaha’, pakar undang-undang, ahli-ahli akademik, wakil-wakil gerakan Islam dan pertubuhan Islam, bernaung di atas nama Islamic Council of Europe, satu perisytiharan hak asasi manusia berdasarkan Islam telah diluluskan.

Perisytiharan ini dinamakan Universal Islamic Declaration of Human Rights atau UIDHR. Perisytiharan ini diluluskan pada 19 September 1981 bersamaan dengan 21 Zul Qaidah 1401.
Perisytiharan ini juga merupakan dokumen solidariti kedua yang dikeluarkan oleh Islamic Council of Europe selepas dokumen pertama, iaitu Universal Islamic Declaration diumumkan dalam Persidangan Antarabangsa Rasulullah s.a.w dan Risalahnya sempena menyambut ketibaan Abad ke-15 Hijrah pada 12–15 April 1980 di London.

Apa yang penting kedua-dua dokumen ini bertujuan untuk mewujudkan solidariti dunia Islam di tengah-tengah popularnya Revolusi Islam Iran bagi mewujudkan solidariti umat Islam sebagai respons kepada UDHR yang diperalatkan oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Amerika, bagi mempersoalkan rekod dan amalan hak asasi negara-negara lain terutamanya dunia Islam.

Teras kepada UIDHR adalah prinsip-prinsip hak asasi manusia yang digariskan oleh Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi dalam risalahnya Human Rights in Islam. Mengukuhkan idea Sayyid Abul A’la Al-Mawdudi adalah penulisan beberapa ayatullah dari Iran. Pendeknya, semasa diluluskan UIDHR merupakan satu dokumen yang mewakili kedua-dua pandangan Sunni dan Syi’ah dalam persoalan hak asasi manusia.

OIC dan Universal Islamic Declaration of Human Rights

UIDHR adalah respons dan jawapan dunia Islam terhadap UDHR. Dengan sokongan Republik Islam Iran yang merupakan satu-satunya negara yang menyokong padu perisytiharan tersebut, usaha-usaha untuk memasyhurkan UIDHR semakin bertambah meluas.

Iran yang pada masa itu menjadi Pengerusi OIC, amat menyokong usaha-usaha untuk mencabar UDHR. Sebagai pengerusi OIC, pada tahu 1981 Iran telah mendesak agar UDHR disemak semula. Bahkan, Iran menegaskan bahawa UDHR adalah satu interpretasi sekular terhadap undang-undang Judeo-Christian yang tidak boleh digunapakai oleh mana-mana negara umat Islam.
Dalam kenyataannya ketika mempersoalkan UDHR, Iran menyatakan bahawa ia tidak memperakui sebarang autoriti atau kuasa selain daripada Allah Azzawajalla dan baginya tidak ada panduan perundangan selain daripada syariat Islam.

Cairo Declaration of Human Rights in Islam yang diluluskan pada tahun 1990 adalah bersumber daripada versi UIDHR asal Islamic Council of Europe yang diluluskan pada 1981. CDHRI dan UIDHR mempunyai peruntukan-peruntukan yang sama dengan tajuk dan nombor sahaja yang berbeza.

The International Bill of Human Rights

Teras dan asas bagi konsep hak asasi manusia dalam konteks kontemporari adalah kepercayaan perihal keperibadian manusia dimartabatkan sebagai sesuatu yang sakral.
Kesakralan ini dianggap sebagai sarwajagat dan mutlak di kedua-dua peringkat idealisme dan konseptual. Asas ini melahirkan piagam-piagam antarabangsa yang terdiri daripada; The Universal Declaration of Human Rights (UDHR-1948), International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR-1976) dan International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights (ICESCR-1976).
Ketiga-tiga dokumen ini dinamakan sebagai The International Bill of Human Rights dengan menggariskan apa yang dikatakan sebagai human dignity yang mana ianya mesti dihormati sepenuhnya.
This entry was published on Monday, July 9th, 2007 at 9:17 am and is categorized under Pak Abu Menulis. You can follow any responses to this entry through the magic of RSS 2.0. You can also leave a response, or trackback from your own site.

Tidak ada komentar: